PERANAN KURIKULUM TIDAK FORMAL KE ARAH MENCAPAI MATLAMAT PENDIDIKAN MALAYSIA


            Sebelum kita menelusuri lebih mendalam mengenai topik yang bakal dibincangkan, adalah lebih baik sekiranya kita mendalami terlebih dahulu definisi kurikulum formal dan tidak formal untuk membantu memahami topik yang bakal dibincangkan. 

 

Kurikulum formal merupakan pendidikan yang diterapkan oleh guru-guru terlatih berdasarkan matlamat pendidikan negara dan mengandungi segala isi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta penilaian di dalam bilik darjah, merangkumi aktiviti kokurikulum yang merujuk terhadap akiviti yang dijalankan menerusi tiga komponen iaitu persatuan, kelab dan permainan, dan unit beruniform.

 

Kurikulum tidak formal yang juga dikenali sebagai kurikulum tersembunyi meliputi segala pengalaman yang dipelajari secara tidak langsung. Kurikulum tidak formal mencangkupi pembelajaran yang diperolehi daripada penerapan nilai-nilai murni, budi Bahasa serta adab dalam kehidupan seharian berdasarkan tingkah laku guru selaku suri teladan, peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah dan juga budaya yang diamalkan sekolah. Kurikulum tidak formal tidak dirancang dan mengikut syarat tertentu, tetapi berlaku secara tidak langsung tanpa disedari oleh guru dan pelajar-pelajar. 

 

Kurikulum tidak formal hanya mampu diterapkan dalam diri murid-murid menerusi peraturan yang telah ditetapkan dalam usaha menginginkan kebaikan bersama seperti peraturan berkenaan penampilan pelajar seperti kod etika pemakaian dan kod kekemasan pelajar. Selain itu, ketetapan harian sekolah sangat membantu dalam usaha membentuk pelajar seperti perbarisan dan perhimpunan ringkas sebelum masuk ke kelas, perhimpunan mingguan dan perjumpaan kokurikulum, jadual bertugas harian pembersihan kelas, peraturan waktu makan dan rehat, disiplin semasa di dalam kelas dan sekolah, serta pelbagai lagi. Pengalaman yang diterima itu sebenarnya boleh memberi panduan serta menerapkan insan yang berdisiplin kepada masa hadapan murid-murid apabila mereka tamat belajar secara formal. Implikasi kurikulum tersembunyi ini lebih kepada kesedaran, keinsafan dan peraturan yang bakal membentuk sahsiah pelajar di kemudian hari.


Kurikulum tidak formal juga dapat diterapkan kepada pelajar apabila pelajar menyertai program dan aktiviti luar kelas. Melalui penglibatan program dan aktiviti luar kelas, pelajar dapat mengasah bakat yang sedia ada, menerapkan kemahiran insaniah, mempelajari nilai dan etika yang tidak tertulis dalam buku seperti membentuk sikap yang positif, pemikiran yang rasional dan tatacara serta penggunaan tutur kata yang sesuai semasa berurusan dengan orang lain. Kurikulum tidak formal juga secara tidak langsung membantu membentuk kemahiran insaniah (softskill) seperti kemahiran berkomunikasi, memberikan arahan, menerapkan budaya bekerjasama dalam berpasukan dengan cara mempraktikkan kesepaduan setiap ahli, meningkatkan ilmu pengetahuan di luar bidang Pendidikan dengan cara  memberi pendedahan ilmu yang tiada di dalam kelas membantu membentuk sahsiah pelajar dengan meningkatkan disiplin pelajar. Nilai tambah dan kemahiran insaniah inilah yang bakal membentuk menjadi modal insan yang berketrampilan.




Justeru, dalam usaha mencapai matlamat Pendidikan Malaysia, kurikulum tidak formal memainkan peranan penting untuk membantu mengembangkan potensi pelajar berdasarkan empat aspek utama iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani pelajar demi membentuk seorang pelajar yang berketrampilan dan berpengetahuan. Disebabkan tiada peraturan yang rigid dalam perlaksanaan kurikulum tidak formal, maka kurikulum ini berperanan untuk memantapkan pengetahuan pelajar sedia ada, meningkatkan pengalaman dan memberi pendedahan yang lebih jelas terhadap sesuatu bidang yang diceburi oleh pelajar dan seterusnya dapat mengembangkan potensi pelajar dari segi intelek. Selain itu, kurikulum tidak formal berperanan memberi peluang terhadap konstruktivisme social untuk menjana perkembangan rohani pelajar di mana pelajar dapat menerapkan lebih banyak nilai murni di saat bersosial dengan individu yang lain. Kurikulum tidak formal juga menyediakan pembelajaran dan persekitaran yang lebih fleksibel, di mana kurikulum ini bebas dan boleh berlangsung di mana sahaja tanpa mengambil kira peraturan yang perlu dipatuhi berpeluang untuk memberi pelajar mengembangkan emosi mereka. Seterusnya, kurikulum tidak formal sedikit sebanyak membantu terhadap pembinaan dan kesedaran diri untuk mengembangkan potensi jasmani setiap pelajar. 

 

Secara mudah, menerusi kurikulum formal seseorang pelajar dapat menimba ilmu pengetahuan yang boleh diukur berdasarkan peperiksaan, di mana keputusan itu dinilai untuk mengetahui sejauh mana kefahaman terhadap sesuatu pembelajaran. Manakala menerusi kurikulum tidak formal, pelajar akan mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tidak boleh diukur secara kasar sebagai contoh sikap seseorang, disiplin dan tahap seseorang itu berkomited dalam menjalankan komitmen. Disebabkan kurikulum tidak formal atau kurikulum tersembunyi ini sangat berkait rapat dengan guru sebagai suri tauladan kepada pelajar di sekolah, satu kajian telah dilakukan oleh penyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai untuk mengkaji strategi penerapan nilai melalui kurikulum tersembunyi serta masalah dalam penerapan nilai melalui kurikulum tersembunyi berdasarkan kajian yang bertajuk Penilaian Nilai Melalui Kurikulum Tersembunyi dalam Kalangan Guru-Guru Sekolah Rendah di Daerah Johor Bahru.


Untuk mencapai matlamat Pendidikan Malaysia, pelbagai langkah perlu dilaksanakan di samping setiap aspek yang berkaitan perlu diambil kira. Tidak hanya tertumpu terhadap kurikulum semata dalam membentuk modal insan yang berkualiti, namun kurikulum tidak formal juga  berperanan walaupun perincian kurikulum tidak formal terlalu fleksibel dan tidak dinyatakan. Maka guru bukan sahaja berperanan penting dalam menyampaikan kurikulum formal dan tidak formal, malah guru berperanan untuk mengubah mentaliti pelajar supaya datang ke sekolah bukanlah semata-mata belajar semua matapelajaran yang ada di sekolah, tetapi yang paling utama untuk mempelajari sebanyak mungkin ilmu yang nyata mahupun tersembunyi dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti dan berketrampilan. 




Dalam usaha mencapai matlamat pendidikan Malaysia, terdapat beberapa cabaran yang perlu ditempuhi dalam usaha melaksanakan kurikulum formal dan tidak formal. Salah satunya dunia kini diserang oleh wabak virus korona menyebabkan sekolah dan pusat pendidikan terpaksa ditutup untuk mengelakkan penyebaran wabak tersebut menyebabkan kurikulum formal dan tidak formal tidak dapat dijalankan dengan sebaik mungkin. Walaupun alternatif pendidikan di saat ini memaksa Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dijalankan secara atas talian, namun hasilnya itu tidaklah begitu memberansangkan sebagaimana PdP dijalankan secara bersemuka. Perkara ini berlaku disebabkan oleh keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sangat berkait rapat terhadap keperluan asas PdPR oleh semua pelajar bukan sahaja terhadap peranti dan akses internet yang stabil, tetapi yang paling utama adalah merujuk kepada emosi dan juga mental pelajar mahupun tenaga pengajar. Meskipun isu ini telah diutarakan oleh akhbar maya MalaysiaKini pada tahun 2020 dengan tajuk Berkesankah norma baru kelas atas talian? namun isu ini masih lagi berlarutan sehingga ke pertengahan tahun 2021 di mana masih ada lagi pelajar menghadapi kekangan dalam meneruskan PdPR. Kita dapat melihat berita yang dikongsikan juga oleh MalaysiaKini memaparkan tentang Derita Pelajar Tanpa Peranti. Dan mereka yang tiada masalah peranti dan akses internet sudah berasa bosan dan hilang minat untuk belajar disebabkan belajar secara maya terlalu lama dan prestasi pembelajaran mereka yang terjejas seperti yang dikongsikan oleh akhbar SinarHarian menerusi Belajar online terlalu lama beri kesan prestasi pelajar. Keadaan diburukkan lagi apabila bencana banjir besar baru-baru ini yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor dan juga ibu kota Kuala Lumpur menyebabkan negeri yang terlibat terjejas teruk sehingga yang tinggal hanyalah sehelai sepinggang.




          Berikutan keadaan yang semakin buruk di Malaysia, proses pembelajaran terpaksa ditunda seperti yang dilaporkan oleh berita atas talian portalinfo menerusi kpm tunda tarikh buka sekolah akibat banjir untuk memberi laluan kepada mangsa banjir menguruskan diri mereka sendiri terlebih dahulu.


Cabaran lain dalam usaha mencapai Matlamat Pendidikan Malaysia adalah penglibatan pelajar terhadap aktiviti atau program yang dijalankan. Seperti yang dihuraikan di atas kita sedia maklum bahawa kurikulum tidak formal berperanan untuk menerapkan nilai tambah dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti dan cemerlang, dan nilai-nilai ini hanya boleh diperoleh melalui program yang dianjurkan oleh pihak sekolah mahupun Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seperti yang dihurai menerusi video yang tertera. Namun terdapat isu yang timbul mengenai penglibatan pelajar terhadap aktiviti yang dianjurkan sama ada tidak aktif mahupun terlalu aktif. Bila pelajar terlalu pasif dan hanya fokus terhadap akademik sahaja menyebabkan pelajar tidak terdedah terhadap nilai yang bakal diperoleh jika tidak menyertai aktiviti luar kelas. Sebaliknya jika pelajar terlalu aktif di luar kelas dibimbangi pelajar akan banyak ketinggalan dalam bidang akademik. Justeru, guru memainkan peranan untuk memantau pelajar supaya dapat menyeimbangkan antara akademik dan juga aktiviti luar kelas dalam usaha mencapai matlamat Pendidikan Malaysia iaitu melahirkan modal insan yang seimbang dalam pelbagai aspek yang turut dipaparkan melalui Utusan Borneo Online menerusi pautan berikut https://www.utusanborneo.com.my/2014/10/21/seimbang-kecemerlangan-akademik-dengan-sukan. Meskipun kini pembelajaran diteruskan melalui PdPR, namun itu bukanlah penghalang untuk pelajar melibatkan diri dalam aktiviti luar kelas seperti yang dikongsi oleh Berita Harian menerusi aktiviti kokurikulum masih relevan seiring pdpr.


RUJUKAN


Coggle.it (n.d.). Perbezaan Kurikulum Rasmi, Formal, dan tidak Formal. Diambil daripada

https://coggle.it/diagram/X3aawniILHVjAhTc/t/perbezaan-kurikulum-dan-tidak-formal

 

ML Studio. (2020, Julai 3). Skill Paling Mahal untuk Graduan. Youtube.

            https://www.youtube.com/watch?v=eQZXg5Q7RCM

 

Khasnor binti Kamdi, & Sanitah Mohd. Yusof. (2014). Penerapan Nilai Melalui Kurikulum

Tersembunyi Dalam Kalangan Guru-Guru Sekolah Rendah di Daerah Johor Bahru. Diambil daripada

http://eprints.utm.my/id/eprint/59070/1/SanitahMohdYusof2014_PenerapanNilaiMelaluiKurikulumTersembunyi.pdf

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sejenak Bersama Penulis