ANALISIS PERUBAHAN SISTEM PENDIDIKAN UNTUK MENCAPAI HASRAT FALSAFAH PENDIDIKAN
Sistem pendidikan merupakan struktur pengajaran yang terdiri daripada sekumpulan institusi dan organisma yang mengatur, membiayai dan menyediakan perkhidmatan untuk pelaksanaan pendidikan sesuai dengan kebajikan, hubungan struktur dan langkah-langkah yang ditentukan oleh sesebuah negara.
Sistem pendidikan merupakan ciptaan dari manusia yang bertujuan untuk membolehkan sebahagian besar masyarakat menerima pendidikan dan latihan yang sama sepanjang hidupnya. Dalam pada itu, sistem pendidikan difahami sebagai salah satu unsur yang paling penting dalam masyarakat moden. Ia adalah struktur umum di mana pengajaran sesebuah negara tertentu secara rasmi dianjurkan.
Sehubungan dengan itu, sistem ini yang akan mengatasi penentuan nasib pendidikan sesuatu negara di mana ia akan selalunya muncul secara formal melalui undang-undang yang menggambarkan semua komponen campur tangan dalam proses ini. Dalam pengertian ini, sistem pendidikan akan menjadi komponen yang penting dalam membantu negara untuk mengambil fungsi utama kerajaan dan pentadbiran masyarakat tertentu. Negara memberikan pengetahuan dalam sistem pendidikan adalah untuk memastikan semua individu dalam setiap masyarakat menerima pendidikan yang seimbang dan menyeluruh.
Di Malaysia, sistem pendidikan pada hari ini telah mencapai usia yang melebihi 40 tahun dengan terdapatnya pelbagai pindaan dan perubahan yang perlu dilalui mengikut peredaran masa. Sistem pendidikan di negara kita telah mengalami perubahan demi perubahan dalam tempoh beberapa abad yang lalu dan setiap perubahan tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Hal ini kerana, perubahan sistem pendidikan ini mengikut kemahuan masyarakat pada masa itu. Sebagai contohnya, di zaman Kerajaan Melayu Melaka di mana kehidupan masyarakat Melayu telah berubah daripada zaman hindu kepada zaman kegemilangan Islam.
Ketika Penjajahan Inggeris dan Jepun ke Tanah Melayu pula, sistem pendidikan diakui berubah sedikit demi sedikit mengikut acuan penjajah. Ketika waktu ini, telah munculnya pelbagai institusi pendidikan yang baharu diperkenalkan. Antaranya ialah Sekolah Vernakular, Sekolah Inggeris dan juga madrasah. Dengan adanya kepelbagaian jenis sekolah ini dapat memberi peluang kepada semua lapisan etnik untuk memperoleh peluang pendidikan masing-masing demi memperkembangkan potensi diri. Sehubungan dengan itu, sistem pendidikan sebegini amat bersesuaian pada zaman tersebut dengan mengambil kira dari segi faktor ekonomi, agama dan politik.
Namun begitu, Malaysia terus mengambil langkah untuk membina sistem pendidikan negara mengikut acuan Malaysia sendiri selepas kemerdekaan. Dengan kata lain, misi dan matlamat sistem pendidikan ini bertujuan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat serta melahirkan masyarakat yang memandang ke hadapan di mana mereka dapat menyumbang kepada tamadun saintifik dan masa depan yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi.
Sehubungan dengan itu, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah sistem pendidikan dapat diwujudkan bagi memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh serta dapat memenuhi aspirasi dan kehendak negara Malaysia. Sistem pendidikan terbahagi kepada tiga aspek iaitu tahap pendidikan, kurikulum, dan penilaian.
Pendidikan
Sejak 2004, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerajui sistem pendidikan di negara Malaysia. KPM bertanggungjawab di dalam pentadbiran dan juga pengurusan sistem pendidikan kebangsaan di peringkat sekolah iaitu pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah dan juga pendidikan lepasan menengah. Dengan kata lain, pendidikan di Malaysia terdiri daripada peringkat prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah dan pengajian tinggi.
Pendidikan prasekolah menerima kemasukan kanak-kanak daripada 4-6 tahun. Hal ini kerana, pendidikan Malaysia tidak mewajibkan pengajian tadika.Namun begitu, pihak swasta yang hendak menubuhkan tadika amatlah digalakkan.Setakat ini, sebahagian besar Sekolah Kebangsaan mempunyai prasekolah.
Selain itu, pendidikan di peringkat rendah bermula dari tahun 1 hingga tahun 6. Pendidikan rendah ini mula menerima masuk kanak-kanak yang berumur 7 tahun sehingga 12 tahun. Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada rakyatnya yang berbilang kaum, pendidikan rendah terbahagi kepada dua jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan di mana Sekolah Jenis Kebangsaan pula terbahagi kepada dua iaitu SJK Cina dan SJK Tamil. Sehubungan dengan itu, Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Kebangsaan manakala Bahasa Cina dan Bahasa Tamil masing-masing digunakan di SJK Cina dan SJK Tamil.
Seterusnya, bagi pendidikan peringkat menengah pula terbahagi kepada dua iaitu pendidikan peringkat menengah rendah dan pendidikan peringkat menengah atas. Pendidikan peringkat rendah bermula dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3 manakala pendidikan peringkat menengah atas bermula dari tingkatan 4 hingga tingkatan 5.
Bagi pendidikan peringkat lepasan menengah pula, Kementerian Pendidikan Malaysia menawarkan tingkatan 6, program matrikulasi, asasi dan juga diploma kepada pelajar lepasan SPM. Sehubungan dengan itu, para pelajar diberi kebebasan untuk membuat pilihan sendiri sama ada hendak belajar dalam programm matrikulasi, Tingkatan 6 atau pengajian diploma di pelbagai institusi pendidikan yang ditawarkan seperti Giat Mara dan Politeknik.Sebagai contoh, mana-mana pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM serta berjaya memenuhi syarat akan berpeluang untuk menyertai program Matrikulasi iaitu program persediaan untuk mereka sebelum mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Sains, Teknologi dan Perakaunan di Universiti Awam nanti.
Kurikulum
Dari aspek kurikulum pula, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggubal dan merancang kurikulum untuk dilaksanakan di semua peringkat pendidikan. Antara kurikulum kebangsaan yang digubal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ialah Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Pendidikan Khas. Justeru, Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) di mana standard kandungan pembelajaran yang sesuai untuk kanak-kanak berumur 4-6 tahun untuk menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan ke sekolah rendah. Selain itu, Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ) digunakan oleh pendidikan peringkat rendah untuk membolehkan perkembangan yang menyeluruh dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani kanak-kanak. Di samping itu, Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) digunakan oleh pendidikan peringkat menengah yang berkonsepkan pendidikan berasaskan standard untuk Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5. Seterusnya, Kurikulum Standard Pendidikan Khas juga sebahagian daripada kurikulum biasa yang telah diubah suai dengan bertujuan untuk memenuhi keperluan-keperluan khas bagi murid-murid yang mengalami pelbagai jenis kecacatan atau kurang upaya.
Hal ini kerana, peranan kurikulum kebangsaan adalah sebagai cara untuk mencapai hasrat dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan mewujudkan serta mengadaptasikan komponen-komponen kurikulum di dalam kurikulum kebangsaan. Sehubungan itu, melalui cara menerapkan tiga komponen utama tersebut dalam kurikulum kebangsaan seperti kandungan, kaedah dan penilaian seterusnya akan dapat memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dapat mewujudkan generasi yang memenuhi aspek-aspek FPK.
Untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci mengenai kurikulum yang digubal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini akan diterangkan oleh saudari Sharmila di bahagian yang seterusnya iaitu Kurikulum Standard Kebangsaan Ke Arah Menterjemah Hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Penilaian
Dan akhir sekali dari aspek penilaian pula merupakan suatu proses mengumpul maklumat untuk membuat sesuatu keputusan berkenaan dengan kemajuan, perkembangan, penguasaan dan pencapaian murid dalam pembelajaran. Dalam konteks pendidikan, proses penilaian lebih menjurus kepada proses ujian atau peperiksaan yang bertujuan untuk melihat kemampuan pelajar dalam menguasai apa yang telah mereka pelajari di dalam kelas. Hal ini kerana, penilaian pendidikan ini telah mencakupi dari pelbagai aspek seperti program pengajaran, hasil pengajaran dan juga matlamat dan misi ke arah menentukan usaha pengajaran itu.
Pada mulanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi Tahun 6, Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi Tingkatan 3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Tingkatan 5. Bagi Tingkatan 6 atas pula, para pelajar akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan juga Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Namun begitu, sektor pendidikan merupakan antara sektor yang paling terkesan sejak Majlis Keselamatan Negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara pada Mac tahun 2020. Hal ini menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil beberapa keputusan termasuk memansuhkan peperiksaan utama iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi Tahun 6 serta membatalkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi Tingkatan 3 ketika negara dilanda Covid-19. Justeru, Covid-19 juga telah mengakibatkan peperiksaan utama ditangguhkan seperti peperiksaan Sijil Pelajaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang sepatutnya diduduki pada hujung tahun lepas terpaksa ditunda ke awal tahun ini.
Dengan melihat apa yang telah berlaku ketika ini, ada segelintir masyarakat yang beranggapan bahawa sektor pendidikan lah yang paling terjejas selepas Covid-19 yang melanda negara kita. Dengan kata lain, kesan pandemik ini menjadi titik permulaan berlakunya perubahan dalam penilaian pelajar di peringkat sekolah rendah sehingga peringkat menengah di mana sebelum ini KPM lebih memfokuskan kepada peperiksaan sebagai cara utama mengukur keupayaan dan perkembangan pelajar. Oleh hal yang sedemikian, sistem pendidikan negara telah mewujudkan satu kaedah baharu dalam kaedah pentaksiran PdPR apabila Covid-19 telah merebak sehingga menyebabkan sekolah terpaksa ditutup ketika gelombang ketika pandemik Covid-19. Guru perlu mencari, meneroka serta merancang pentaksiran alternatif untuk menggantikan peperiksaan alternatif untuk menggantikan peperiksaan serta ujian bertulis yang sebelum ini diadakan secara bersemuka.
Hal ini kerana, pelaksanaan pentaksiran alternatif ini dapat membantu guru untuk memantau serta melihat perkembangan pembelajaran pelajar, guru menjalankan pentaksiran dan memperbaiki mutu pembelajaran pelajarnya semasa pandemik Covid-19. Sebagai contoh, selain peperiksaan yang dapat dilakukan pentaksiran alternatif juga mempelihatkan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan untuk menilai penguasaan serta mengesan perkembangan pelajar. Pentaksiran kognitif, prestasi dan portfolio merupakan antara pendekatan yang boleh dilakukan dalam pentaksiran alternatif ini. Sehubungan dengan itu, guru boleh memilih pentaksiran alternatif yang sesuai yang dapat dilakukan mengikut kaedah PdPR yang digunakan. Antara pentaksiran alternatif yang dapat dilakukan dalam pembelajaran yang dilaksanakan secara dalam talian ialah kuiz dalam talian dengan menggunakan aplikasi Quizizz dan Kahoot, e-permainan dan juga aktiviti soal jawab semasa kelas dalam talian.
RUJUKAN
Suliati Asri. (2021, May 1). Era Baharu Pendidikan. Harian Metro. Retrieved January 6, 2022 from https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/700974/era-baharu-pendidikan
Nurul Hidayu Abd Halim. (2012, May 17). Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia. SlideShare. Retrieved January 6, 2022 from https://www.slideshare.net/ayumr2911/sejarah-perkembangan-pendidikan-di-malaysia
Saadon Awang. (1970, January 1). Sistem pendidikan baru Malaysia: Suatu pendekatan holistik-komprehensif - UUM Repository. College of Law, Government and International Studies, Universiti Utara Malaysia. Retrieved January 6, 2022
from http://repo.uum.edu.my/id/eprint/11927/1/17.pdf
Ulasan
Catat Ulasan